Thursday, November 24, 2011

Buat sekelian lama.....

Salam blogger ....


Subhanallah,Wallhamdulillah Wallahuakhbar!!!! tiada ungkapan sehebat kalimah suci Tuhan, di saat hamba yang naif amat kebuntuan dan memerlukan sinar terang dari kegelapan, Kau lebarkan pertolongan, sentiasa "on call" mendengar rintihan hamba2Mu yang kekadang ego n angkuh dengan kesenangan pinjaman sekeliling.......Terima kasih Tuhan, atas nikmat dan ujian saban hari yang Kau datangkan...Moga semua itu dapat menguatkan kaki ku terus melangkah melaksanakan tuntutanMu, mudah-mudahan apa yang aku perolehi kelak ialah kecintaan dan keredhaanMu......aminnn...

Aduhai hati, suara2 nakal berbisik lagi...sungguh tak sangka lena ku memanjang hingga saat ini baru terjaga.... Entah ribut dan badai mana yang menggerakkan jiwa untuk aku lontarkan idea lagi dan lagi, menerjah masuk bersalam ke teratak usang yang ku tinggalkan...terlalu asing merasakan diri bila jari jemari berentak bebas menekan kekunci keyboard saat ini...terlalu pantas masa meninggalkan kita, tanpa sedar hampir setahun ku menyepikan diri tanpa sebarang entry...."cerita2"nyer ada, masih ada seperti biasa tapi seperti lazimnya akan terusang lama dalam perut komputer riba sebelum ku hembur...satu persatu...

Biarlah untuk mukaddimah, ku sengaja ringan2kan....tapi yang pasti, ku kembali......
Sekadar renungan :





"“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan didunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang tenak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”(Muhammad: 12)"..










Monday, January 17, 2011

Hubbuddunya wa karahal maut

Andai iman yg bertahta di hati, cinta Ilahi menjadi pilihan... tp andai nafsu yg bertahta di hati, cinta insani menjadi taruhan... hubbuddunya wa karahal maut..



Itulah antara pesanan terakhir dari seorang sahabat Perindu sewaktu kami selesai membincangkan topik hangat menyentuh tentang kehidupan masyarakat islam kita...Penyakit al-wahn, antara sedar atau sengaja membutakan hati untuk mengakuinya dilihat semakin menular dalam jiwa2 kita sebagai umat Islam. Sayu dan tersentuh hati kecil bila mana menyaksikan apa yang pernah dinyatakan oleh baginda Rasulullah sedikit demi sedikit semakin menghampiri kita, berlaku di sekeliling kita malahan melibatkan ahli keluarga terdekat. Akhir zaman menyaksikan sebahagian besar umat Islam bersikap seperti seorang muallaf. Erti kata lain, individu yang dilahirkan Islam, membesar dalam persekitaran orang-orang Islam tetapi jahil memanifestasikan kandungan Islam. Masih tidak jelas tujuan penciptaannya ke dunia apatah lagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Penyakit Al Wahn adalah sejenis penyakit berat dan mudah menular. Biasanya menyerang akibat zat anti bodi sebagai aqidah dalam tubuh keislaman kita dalam kondisi lemah.

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:
"Pada suatu hari kelak, umar-umat akan memusuhi kalian(Islam) dari segala penjuru, seperti orang-orang lapar yang merebutkan makanan."Para sahabat bertanya, "Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Bahkan, jumlah kalian pada waktu itu banyak, akan tetapi kalian hanya bagaikan buih yang terbawa arus air; dan sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari dada para musuh kalian; dan sungguh Allah akan mencampakkan wahn di dada kalian. "Para sahabat bertanya kembali, "Apakah wahn itu wahai Rasulullah?" Rasulullah Sollallahualaihiwasallam menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (lihat al-Jami' as-Shaghir: 8183


Apabila dikiaskan dengan umat Islam kini, kita memang dapat lihat banyak berlakunya persengketaan dan perpecahan. Jika kita hanya berperanan untuk mengungkit kembali masalah-masalah yang dihadapi saudara seislam kita, bahkan mengecam dan bertindak menuang minyak ke dalam kuali yang terbakar, maraklah api membinsakan seluruh isi di dalamnya, pastilah makin bertambah parah penyakit umat kita. Kenapa tidak didiamkan sahaja bidasan yang pedas tetapi digerakkan seluruh kudrat anugerah tuhan dengan menjalankan pelbagai usaha dakwah yang hakikatnya bukan hanya bergantung kepada sebaran secara lisan semata-mata.


Nasihat serta saling ingat mengingatilah kita, mulakan dengan diri sendiri, ahli keluarga terdekat,sahabat dan taulan. InshaAllah umat akan beransur pulih, sepertimana analogi pesakit yang tak putus-putus berusaha mendapatkan khidmat rawatan pakar profesional bagi menyembuhkan penyakitnya. Begitu juga kita sebagai invidu Muslim, mula dengan diri kita, kita sembuhkan diri, kemudian kita juga perlu menyebar penawar tadi kepada yang lain...

Wallahu'alam...


Tuesday, January 4, 2011

Episod Baru- Satu Perjalanan




Walau berbulan tidak menjenguk teratak Rindu, namun hati selalu terpanggil untuk menitipkan sesuatu..berkongsi tentang kehidupan dunia, yang diwarnai dengan pelbagai corak lukisan realiti. Sudah hampir sebulan lebih insan serba kekurangan ini memegang amanah bergelar pendidik. Masih ku ingat detik awal menjejak dunia yang serba asing. Di sini, hujung pekan yang didiami majoriti baba nyonya, jauh dari bunyi kokokan ayam apatah lagi suara merdu laungan azan. Pagi tua, aku bergerak menggagahkan kudrat yang ada, semangat baru, azam penuh di dada, darah jiwa muda masih membara. Lagi di sini, asingnya aku pada mata yang memandang. Atas dan bawah jadi perhatian. Satu-satunya jasad yang bertutup litup disebalik baju kebanggaan masyarakat melayu, berhijab menyembunyikan susukan harga diri seorang muslimah. Aneh bagi mereka, mungkin menyangka aku tersesat dalam mencari laluan. Biarlah hari ini riak wajah mereka kelam, esok lusa dan entah berapa lamanya mereka akan terbiasa, aku jadi tontonan harian.

Dalam langkahan, kaki terhenti..hatiku berdebar lagi bila melihat kiri dan kanan bahu jalan. Ada sesuatu, yang menyentuh jiwa kecil ini. Lambang dan simbol itu, bagai aku kenal. Suatu ketika dulu, aku bimbang dan takut andai didekatkan dengan situasi begini. Sedar kekuatan yang ada ibarat setitis dakwat, takut nikmat iman dan islam tergadai..tersilap langkah, terlepas kata lantas terus tersadung menyembah ke bumi. Aku bukanlah sesiapa, bukanlah wakil rakyat yang hebat berhujah, bukan jua pakar kaunseling yang mampu bermain psikologi dengan pesakitnya. Hanyalah insan yang masih mencari jawapan & kepastian dalam setiap cabang yang ku jumpa. Kini, kenyataan di depan mata. Aku perlu akur dan terus melangkah ke depan bukannya mengalah sebelum berjuang. Allah datangkan sesuatu padaku, yang padanya jika aku bersabar dan menghadapinya dengan tenang inshaallah bonus berganda akan jadi milikku. Namun seandainya aku terus melatah dan berterusan menyalahkan takdir atas setiap yang berlaku, jiwa makin kusut ditambah lagi hilangnya nikmat sakinah dari Tuhanku..

Ku hitung satu persatu simbol salib hingga wajah betul-betul menghadap pintu masuk utama sekolah. Lebih berpuluh-puluh ku jangka, tawar hati untuk mengira setepatnya. Biarlah, apa nak dikisahkan. Laman SMJK aku perhati setiap inci. Bangunan lama, yang pada pengamatanku belum pernah diubahsuai lagi melainkan penambahan 2 buah banguanan baru mungkin akibat jumlah pelajar yang makin bertambah. Suram dan sunyi, dua perkataan yang terkeluar ikhlas dari hati kecilku….lamunan dikejutkan suara asing, pelat bahasa melayu yang membuatkan dahi berkedut untuk menafsirkan setiap patah yang diungkapkan. "Cikgu, cikgu..ini ari baru posting ka? Ini Cikgu agama ka?".. Wanita india separuh umur dengan ramah menyapa. ..Secara tak sengaja dia yang menjadi tourist guide untuk aku. Bagai menonton drama melayu klasik, belum sampai setengah jam satu sekolah habis kami jelajah dan teroka.

Mampukah tulang empat kerat untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Kebanyakan pelajar melayu di sini hilang identiti keislaman. Pemakain, tutur kata, akhlak dan tingkah laku tiada bezanya antara mereka dengan rakan seagama lain. Itu yang diberitahu oleh makcik cleaner tadi..seorang non-muslim yang hampir berbelas tahun membanting tulang bekerja dan bersama membangunkan sekolah ini. Mengapa aku tertunduk saat itu, terkesan ke pada jiwa? Cabaran, aduhai hidup tanpa diuji takkan merasa puas, buruk padah hingga membawa kematian pada hati kerana terlalu selesa sepanjang masa. Iman tak pernah disentuh, syok sendiri. Tapi tak cukup hanya dengan mengata, usaha dan buktikan melalui perlakuan itu lebih awla. Rutin harian ku bermula lewat sedikit berbanding rakan sejawat yang lain, aku mula mengenal istilah 2 alam dan kelas terapung lebih mendalam di luar daripada bilik kuliah Dr. Aderi semasa menuntut di ukm suatu ketika dahulu. Dari pukul 8.50 pagi hinggalah 5 petang, ku cuba untuk memikul tanggungjawab sebaik mungkin. Selalu rakan sejawat bertanya apakah diri ini tidak mengenal erti kepenatan. Bohongla mereka yang mengatakan tidak, aku tidak mahu tergolong dalam golongan hipokrit tapi aku juga malu pada Tuhan untuk ungkapkan kalimah penat. Siapalah aku, untuk meragui atur cara yang telah ditetapkan oleh Pemilik. Apatah lagi, ujian itu sekecil-kecil batu delima. Senyuman ku ukir sebagai jawapan, aku ingin bersemangat selalu. Ingin lakukan yang terbaik agar mereka dapat yang terbaik. Allah, peliharalah hambaMu dari penyakit-penyakit hati…

Baru ku sedar, mengapa selama ini guru disanjung dan diangkat tinggi martabatnya. Kerana guru manusia biasa yang diangkat Allah untuk melahirkan insan-insan yang luar biasa. Guru hatinya batu, kerana walau dipuji,dicaci, ditolak ketepi sekalipun dia tetap seperti yang selalu..tidak dipendam dan dibawa sampai ajalnya, dendam kesumat terhadap "anak-anaknya".. Dialah rimbunan dahan kepada dahan yang lain, yang menumpang 1001 masalah di bahunya. Namun dia tetap maintain seperti selalu. Aku kagum dengan guru, mampukah aku menjadi guru? Atau sekadar bekerja sebagai guru? Allahu rabb, ikhlas hati ku katakan yang aku kesunyian hingga kini. Tiada lagi tempat untuk ku bergelak tawa dan sandarkan sebagai teman. Guru melayu hanya beberapa orang sahaja.. Bila tiba sesi persekolah, masing-masing sibuk mengejar waktu yang tak terkejar. Menyiapkan setiap tuntutan, agar kepuasan dan kehendak pelanggan yakni palajar, ibubapa dan pentadbir berpuas hati. Itulah hakikat seorang guru. Moga kesunyian ini mampu mendekatkan aku padaMu tuhan…

Sesampai di rumah, barulah terasa keletihan yang tak terkata. Namun, jauh di sudut hati aku puas kerana hari-hari yang dilalui sempat dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sedikit sebanyak tidak memberI kesempatan untuk hati ku lagha memikirkan perkara-perkara yang sia-sia….Moga Allah jaga hati ,iman dan aqidah kita…teguh n istiqamah dalam menyemarakkan cahaya Islam di bumi Tuhan….Ya Allah, dambakan aku cinta kasih sayangMu……