Thursday, June 24, 2010

MUHASABAH DIRI

Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabannya di akhirat kelak serta didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokan tempat kembali. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah hisabnya di Hari Pembalasan.

Justeru, hendaklah kita bermuhasabah dan menyoal diri kita sendiri, adakah kita akan terlepas daripada dihisab? Oleh itu segeralah bermuhasabah sebelum terlambat. Sebagai panduan Imam Al-Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah atau peringkat untuk bermuhasabah seperti mana berikut:

Marhalah Pertama : Al-Musyarothoh
Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Di tangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri adalah berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

Marhalah Kedua: Al-Murokobah
Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah lantas melakukan maksiat terhadapNya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan laranganNya.

Marhalah Ketiga: Al Muhasabah
Apabila seorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakala rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan thabat atas perkara tersebut. Sekiranya kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

Marhalah Keempat: Al-Muakobah
Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan iqab/ denda yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan. Diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjemaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama’ pula mewajibkan diri dengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya bertujuan untuk menta’dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah Taala.

Marhalah Kelima: Al-Mujahadah
Sentiasa berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari masa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikhendaki oleh Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh supaya tidak future di pertengahan jalan.


Bersama-samalah kita bermuhasabah serta sentiasa mengingati hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Hakim yang Maha Agung di Padang Mahsyar nanti. Adakah hari yang kita lalui kini lebih baik daripada semalam? Semoga kita semua diredhai Allah dan ditempatkan bersama hambanya yang solihin. Amin….

No comments:

Post a Comment