Sunday, February 28, 2010

CETUSAN MID SEM

Di sini sedikit catitan yang sempat jemari ini lakarkan selama menghabiskan masa cuti di kampung halaman tercinta. Alhamdulillah, cuti kali ini Perindu benar-benar bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama usrah tercinta di awal permulaan hingga hari terakhir. Sesungguhnya, inilah hadiah terbaik mid sem Perindu… wajah-wajah tenang bersama 1001 keceriaan. Ada manis, masin, pahit dan tawar. Itulah namanya kehidupan insani.

14 & 15 February 2010
Dalam tidak sedar, rupanya Perindu telah melakukan satu kesilapan besar. Entah dimana silapnya, Perindu pun tidak pasti apakah punca kepada rasa bersalah ini. Sebelum bermulanya cuti semester lagi memang Perindu pada awalnya bertekad dan bersemangat untuk mengikuti Program Induksi kali ini yang dianjurkan oleh MMP khusus buat adik2 bakal exco setelah tidak berpeluang merasai yang sebelum ini disebabkan kekangan masa dan situasi yang menimpa. Apakan daya, kita hanya mampu merancang dan mengatur strategi, yang memutuskan dan penentu segala perancangan adalah Allah SWT. Bagaimanalah pandangan sahabat-sahabat mantan yang lain dikala seseorang yang bersemangat pada mulanya menaburkan pelbagai janji yang mampu menitipkan sebuah senyuman di bibir sahabat yang lain akhirnya tidak mampu mengotakan segala yang dijanjikan. Mampukah kalian memaafkan diri ini? Mampukah kalian menyelami apa yang dirasai oleh diri ini? Andai tidak, apalagi yang mampu hati ini suarakan. Sungguh, aku di dalam dilema untuk memutuskan jawaban, apatah lagi ianya melibatkan keluarga, ayah n ibu yang sudah berusia. Andai kalian berada di tempatku, adakah kalian akan melakukan perkara yang sama. Lantas, sanggupkah kalian meninggalkan kedua orang tua yang dalam keadaan teramat uzur dan sentiasa berperang dengan sakitnya yang adakala datang menyerang secara tiba-tiba, tidak menentu detik dan waktu. Sanggupkah kalian melukakan hati mereka yang selama ini bersusah payah dengan kudrat yang tak seberapa, melahir, membesar, mendidik sehingga kalian mampu mengenal alif, ba, ta apatah lagi mampu membezakan antara kebaikan dan keburukan semata-mata untuk menyenangkan hati sebelah pihak? Semata-mata untuk dipandang hebat dan prihatin di kalangan mereka yang bukan sesiapa pun pada kita asalnya, hanya pada nama sebagai seorang teman tetapi sebaliknya. Hati naluriku makin tersentuh bilamana seorang ayah yang tidak pernah merungut walau sepatah memohon sesuatu tiba-tiba meminta agar tidak ditinggalkan seorang diri. Tidak pernah seumur hidup seingat aku abi menghalang diri ini dari mengikuti sebarang program apatah lagi yang melibatkan majlis ilmu. Bahkan dialah yang selama ini memberi sokongan dan pendorong buat diri ini dalam melayari bahtera sebagai seorang penuntut ilmu. Ku rebah jua, bila mengenangkan semua itu. Mutiara jernih yang ku cuba pertahankan dari awal lagi akhirnya gugur memutih jua ke pipi. Biarlah, aku tetap aku. Insan biasa, tak punya kelebihan di mata sesiapa. Biarlah aku sendiri yang mengenali apa yang tersirat di sebalik sesuatu yang terjadi dalam hariku. Cuba bergerak merangkak sendiri tika orang lain bangga dengan kekuatan sekeliling, cuba bangun berdiri tika orang lain mula gagah berlari, cuba menyusun kaki melangkah tika bayang-bayang mereka hilang di bawa bayu senja. Terima kasih buat teman-teman yang memahami situasi Perindu. Kata-kata semangat dari kalian amatlah Perindu hargai di saat diri hampir putus asa lemah mencari tempat untuk berpaut. Apa yang pasti, Perindu memohon kemaafan buat seseorang yang mungkin mengharapkan sesuatu dari Perindu…maaf diri ini tidak terdaya, maaf coz dah 3 kali Perindu tak menghadirkan diri (Tak mampu tepati janji), maaf membuat kalian terasa hati….



16 February 2010
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kesihatan abi pun dah nampak makin baik walau batuk-batuknya masih kedengaran memecah sunyi di lubuk desaku. Pun begitu, pandangan matanya masih lagi tidak menampakkan perbezaan, masih kabur menyukarkan penglihatan pada jarak yang jauh. Biasala bila usia sesenja begitu, macam-macam penyakit senang menghampiri kita. Sebagai manusia, kita hanya mampu berusaha untuk mencegahnya sekadar kudrat yang ada. Pagi tadi hati ini senang sekali bila terdengar gelak tawa dari suara tua abi. Bergurau canda dengan anak-anak kecil, mesra melayan telatah cucu-cucu mudanya. Semenjak pulang dari kampung 3 hari yang lepas, aku hanya mampu menatap wajahnya yang berkerut menahan sakit yang dialami. Dengan getaran suara yang tersekat-sekat menyukarkan sebutan yang diluah untuk difahami mereka sekeliling. Hari ini, bagaikan mimpi buat diriku. Sekujur tubuh yang ku kenal berdiri di tengah bendang, jauh pandangannya dilemparkan. Entah apa yang cuba dicari dalam kesibukan fikirannya menerawang ke gugusan awan. Inilah hadiah yang amat aku nantikan.


17 February 2010
Tak syok lau pulang ke kampung sendiri tidak berpeluang untuk merasai nikmatnya air nyor asli. Bersama deretan anak buah Perindu kerahkan tenaga, ibarat komander mengarah tenteranya berkawad, melangkah laju ke kebun bersama parang dan galah di tangan. Sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata indahnya saat itu. Walau lelah dan payah untuk mendapatkan sebiji kelapa, sukar untuk menentukan yang mana isinya muda dan tua tapi semua kesukaran itu hilang sekelip mata bila melihat keriangan yang ditonjolkan oleh anak-anak kecil comelku. Dengan penuh harapan menantikan buah jatuh ke bumi. Sekali sekala namaku disahut beramai-ramai, dan sekali sekala terdengar esakan tangisan akibat pergaduhan kecil yang sengaja ditimbulkan untuk menarik perhatian kami sebagai insan dewasa. Setelah beberapa biji buah kelapa berjaya dijatuhkan dengan kudrat aku sebagai perempuan, apalagi yang ditunggu melainkan semuanya sudah bersiap sedia dengan gelas dan sudu di tangan. Sebiji demi sebiji hingga ke buah yang terakhir terus menjadi penyejuk dan basahan tekak yang sedia kekeringan dari tadi. Semuanya tersenyum puas. Masing-masing terdiam, karpet hijau asli menjadi saksi tempat rebahan kami.

18 February 2010
Hari ketiga Perindu di kampung sendiri bagaikan tak terasa cepatnya masa berlalu. Seperti biasa, setelah selesai semua kerja-kerja di dapur, ruang tamu juga telah siap dikemas tersusun bersih, di hujung anjung rumahlah menjadi tempat bertapanya. Subhanallah, terima kasih Tuhan atas nikmat ketenangan hati tika ini. Angin bayu sepoi-sepoi bahasa berirama bagai menyambut perasaan senang yang berlagu. Dalam asyik menikmati pemandangan yang menghijau berbatikkan pohonan kelapa dan berlatar belakangkan daunan lalang, wajah-wajah silam tiba-tiba berwayang di kaca minda Perindu. Satu persatu bayangan muncul bagaikan iklan tv mencuri tumpuan penontonnya. Terputik satu perasaan mengguguskan rindu yang teramat sangat pada bayangan-bayangan tersebut yang pernah mekar berputik 7 dan 8 tahun lalu. Di manakah kalian kini? Ingatkah lagi kalian pada wajah ini? Bahagiakah atau sebaliknya kalian di sana? Mengapa sehingga ke detik dan saat ini Perindu gagal untuk cuba menghubungi kalian semua? Tak terdaya lagi diri ini, usaha telah ku labuhkan dengan kudrat yang tak seberapa, semangat dan keinginan tak pernah padam. Namun, masing-masing masih tetap membatu bagai tiada apa-apa. Sudah berubah ke hati, kasih dan perasaan kalian? Haruman janji yang ditaburkan , masih ku pegang hingga ke hari ini. Salahkah insan kerdil ini menuntut kembali wangian janji sahabatnya sendiri? Meminta penjelasan untuk semua kebisuan yang melanda? Demi ukhwah yang bertahun dibina atas landasan yang berpaksikan kebenaran dan redha Kholiq Yang Esa..inshaallah. Biarlah dunia mempersendakan aku, walau tenggelam di ombak sepi, berlayar keseorangan di tengah samudera mencari kasih yang hilang. Ku tetap inginkan kembali mahabbah itu, yang terakam di bumi Amir Indera Petra. Episod remajaku berputar hebat di sana. Kerna apa? Kerna kalianlah kekuatan di sebalik hijab yang tertutup. Rindu ini masih sama seperti dulu, sama buat kalian..Kak Ira, Bebei, Ida, dan Yah… Moga suatu masa kita dipertemukan, disatukan dan ditetapkan hati dalam redha dan limpah Ilahi…. Astaghfirullahal azim, rupanya terlalu jauh waktu silam yang ku seret ke imaginasi kini. Makin lama makin hanyut melemaskan hidupan realiti. Sampaikan anak buah berbaring berhampiran pun Perindu hampir tidak menyedari. So, tu penandanya time for cooking.. apalagi..bala tenteraku sudah mula bersiap sedia untuk menyerang markaz dapurku…waduh-waduh, pening..tapi eppy… apa-apa pun, untuk petang nanti dh siap sedia ku plan. Akan ku kerahkan semua bala tentera setiaku ke kebun tanaman labu….. Hajat di hati teringin nak masak pengat dan cengkodok labu untuk hidangan minum petang…sedapnya…

19 February 2010
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan dan waktu untuk meneruskan kehidupan yang tidak pasti. Penat satu badan masih lagi terasa, seolah-olah baru sahaja selesai menyudahkan aktiviti jungle trekking di Pangkor suatu masa lalu kesan daripada sikap tidak duduk diam dan terlampau excited dengan binatang ternakan. Biasela, bila terlalu lama urat daging dimanjakan di kampus, walau sebiji pinggang pun jemari tak tersentuh, balik jer kampung kerja ringan pun terasa seolah bebanan. Hari ni, tak terkata Perindu, suka sesangat sebab ahli keluarga Perindu makin ramai dan bertambah. Kakak bersama abang dan anak masing-masing dari merata daerah negeri bersama-sama memeriahkan keceriaan suasana yang sebelum ni tersedia bombastic. So, memang tidak keruanla keadaan rumah dan yang sewaktu dengannya dengan puluhan kanak-kanak Ribena,hehehe. Banyak kelebihan yang bakal diperolehi hasil pertautan dan pertemuan ini. Perindu tidak melepaskan peluang mencelah dan berkongsi pelbagai idea, kemahiran dan kepakaran bersama. Pengalaman yang paling seronok sekali ialah time menyiapkan ramuan satar dan membakarnya. Dari mula-mula menyiang ikan, hinggalah kemuncak, membungkus dan sebagainya terasa tak kering gusi dek gurauan dan karenah yang ditonjolkan mereka. Best sangat, angkat dua satar yang dah masak, tengok tinggal kulit daun jer.. ramuan kat dalam kulit, entah tangan mana yang laju merobek. Apa yang kelakarnya, bila diselidiki rupanya cucu saudara Perindu yang berumur 2 tahun lebih yang sapu kat mulut, budak kecik yang teramat nakal yang membuatkan dia makin cute,huhuhu….. Walau penat macam mana sekalipun, bila diajak keluar makan angin, yang lembik bertukar segar semacam je. “Ai Makda, dah bertukar ek?? Ekspress je bab ni ”, sound salah seorang daripada 23 orang anak buahku… Moral of the story, budak zaman sekarang memang banyak sangat mulut, hehehe- Pro active katakan… Sebelum senja, sempat ku luangkan masa menjamu mata di pasar besar Bachok dan Pantai Irama. Segala-galanya telah berubah, bagai memahami hati dan perasaan seorang insan yang mendambakan roh ketenangan hakiki. Langkahan demi langkahan ku perlajukan, mengejar baying-bayang waktu agar tidak dihimpit awanan senja, sebagai petanda malam bakal menjelma.

20 February 2010
Hati dikejutkan dengan satu pesanan ringkas dari seorang teman baik Perindu berbunyi, “Maafla tak dapat sertai program bersama esok sebab ada majlis yang bakal berlangsung di rumah.” Walau tidak dinyatakan secara terperinci berkenaan majlis tersebut, budak kecil berumur 6 tahun pun bagi Perindu sudah boleh mengagaknya. Selang sehari kemudian, satu lagi pesanan ringkas dari teman yang sama perindu terima, tapi dengan nada ayat yang berbeza membuat diri ini makin sayu, “Salam, sebenarnya semalam tu majlis pertunangan saya. Maaf sebab tak jemput” Walaupun sudah menjangkakan semua itu dari awal lagi, hati Perindu tetap tidak berupaya untuk menahan rasa sendu yang mula bersarang di dada. Sudah berkali dipujuk dengan bisikan-bisikan positif agar tidak tertewas dengan hujan emosi, Namun Perindu juga insan biasa, wanita yang tidak terlepas dari mudah mengalirkan air mata. Semuanya bersebab, air mataku bukanlah barangan murahan. Hakikatnya, antara kami bukanlah teman biasa apatah lagi kawan yang tidak mesra, bahkan akrab bersama, saling terluah dan meluahkan. Bukan niat hati ini untuk mengungkit semua, apatah lagi nak meletakkan kesalahan dan menghukum dirinya atas kegurisan yang mungkin…mungkin, dan mungkin tak disengajakan, tapi sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati seorang teman yang inginkan kepastian tentang erti sebuah nikmat persahabatan. Apakah diri ini tidak layak untuk sama-sama merasai tempias kebahagianmu teman? Daku keliru, andai semua ini turut ditimpa buat semua kenalan-kenalan yang lain, mungkin boleh pertimbangkan dan Perindu akur dengan hati terbuka. Namun begitu, mengapa hanya diri ini yang tercicir dalam sedar? Jelas, sengaja disembunyikan dan disuluhkan bayang-bayang dalam cahaya yang terang. Teruk sangat ke diri ini sehinggakan bila isu yang melibatkan pertukaran status, jodoh dan pasangan kalian sembunyi dan lempar jauh-jauh dari pengetahuan temanmu ini. Akhir sekali, suara-suara sayup lain yang datang mengkhabarkan padaku. Adilkah itu? Peritnya tika itu. Sedarlah kalian, aku juga insan yang memiliki semua pancaindera, 2 tangan dan kaki, perasaan dan hati yang sama dengan kalian. Jangan kerana teguran dan sikap ketidaksenangan ku akan sesuatu isu yang melibatkan pergaulan, terutama berkaitan muamalat antara kaum kita dan insan bernama LELAKI, aku kalian jauhkan. Bukan ku melarang semua itu, kerna aku juga tahu fitrah manusia semua adalah kearah itu, dan aku pun tidak mahu untuk melawan apa yang ditetapkan Allah, tahu hukum menidakkan sunnatullah walau tidak sehebat kalian. Sepatutnya andai diri ini salah, jangan ditinggalkan apatah lagi dibiaskan. Bimbinglah dan ajarlah insan yang serba kedhaifan ini. Moga sama-sama memperolehi Mardhatillah dunia dan akhirat… ku doakan kebahagian, kesejahteraan dan kejayaan sahabat-sahabat semua selagi hayat dikandung badan dan diizinkan Tuhan.


21 February 2010
Hari terakhir berada di kampung membuatkan diri serba tak kena. Kedua orang tua sampaikan tertanya-tanya perihal perubahan tingkah laku pada Perindu. biasala, bila dah nak berpisah dengan keluarga apatah lagi dalam keadaan umur ibu ayah yang sudah terlampau berusia, terlalu berat langkahan nak ku atur. Semoga esok masih ada sinar buat kami semua. Saat kelakar pun ada, dari tahun satu hingga sem last final year, Perindu masih lagi ditatang bagai anak-anak kecil. wajah-wajah yang sama masih setia tetap bersedia mengiringi bersama perjalanan Perindu sehingga ke hentian setiap kali hendak kembalinya ke kampus. Bekalan tak usah ceritala, memang berplastik dan berkotak makanan ringan yang dibekalkan oleh ibu dan kakak. Alhamdulillah, Perindu tergolong di kalangan insan yang bertuah yang masih berpeluang merasai nikmat kasih sayang ibu ayah dan keluarga. Apa yang pasti, saat paling tak syok dan membosankan adalah sewaktu menghabiskan masa 5 hingga 6 jam di dalam bas tanpa membuat sebarang aktiviti. Semoga perjalananku selamat….Jumpa 5 bulan akan datng yea anak-anak makda!!!!!

Ya Allah, jadikanlah di dalam hatiku CAHAYA, di lidahku CAHAYA, di pendengaranku CAHAYA , di penglihatanku CAHAYA, Jadikan di belakangku CAHAYA, di hadapanku CAHAYA, dari atasku CAHAYA, dan di bawahku CAHAYA. Ya Allah, berikanlah aku CAHAYA.

No comments:

Post a Comment