Wednesday, March 3, 2010

Perlukah Cinta??

Di dalam Islam, perasaan cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang amat ditegaskan yang menjadi teras kepada ajaran agama. Sedarkah kita di mana perkataan kasih dan sayang “al-Hubb” yang diulang-ulang dan disebut sebanyak 88 kali di dalam al-Quran, hanya sekali sebutan sahaja yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan iaitu dalam surah Yusuf ayat 30. Maksudnya : "Dan wanita-wanita di kota berkata : Isteri al-Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang." Sama ada kita menyedari atau tidak, kebanyakan ayat-ayat yang berkaitan “al-Hubb” adalah merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah SWT atau golongan yang dimurkaiNya. Sebagai contoh dalam surah al-Baqarah ayat 195 maksudnya : "Allah suka orang-orang yang berbuat baik, surah al-Imran ayat 159: Allah suka orang yang bertawakkal."


Kasih sayang kepada Allah, agama, rasul, dan al-Quran membentuk sikap seseorang individu muslim. Tanpa cinta dan kasih sayang, kehidupan manusia tidak akan sempurna kerana ia merupakan asas kepada ketamadunan dan pengikat kepada hubungan. Cinta penyatu antara hubungan kekeluargaan, suami isteri, sahabat, masyarakat sebangsa dan sebagainya. Islam itu indah dan mengajak kepada perkara-perkara yang indah, semestinya cinta itu indah sekiranya ianya diacu dalam aduanan yang diterima oleh syarak. Berbicara tentang cinta, para alim ulama’ membahagikannya kepada beberapa martabat.

Martabat cinta yang tertinggi adalah cinta kepada Kholiq, Rasul, agama dan jihad fisabilillah. Ia dikenali sebagai al-Hubb ul A’la. Mereka yang benar-benar menghayati cinta tertinggi ini akan merasa redha dengan apa sahaja yang ditetapkan kepadanya dan sanggp melakukan apa sahaja demi mencapai redha Ilahi. Golongan yang mencapai dan merasai martabat cinta ini pastinya akan berpegang kepada Kalam Allah & sunnah rasulNya sebagai kayu pengukur landasan hiudp beragama.

Cinta di tahap kedua disebut sebagai al-Hubb al-Ausat iaitu cinta di tahap pertengahan. Di mana cinta ini ada kaitan dengan cinta terhadap individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan pertalian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga amatlah dituntut dan diperlukan serta digalakkan oleh Allah SWT dalam kehidupan seharian makhlukNya. Sebagai contoh, cinta kepada kedua ibubapa, saudara mara akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa perasaan cinta ini, tidak mungkin seseorang individu tersebut mampu untuk membina sebuah keluarga, apatahlagi untuk membentuk kebahagiaan dan yang pasti tidak aka nada zuriat yang dapat dilahirkan. Walau bagaimanpun, cinta di tahap kedua ini boleh ditamatkan untuk sementara waktu atau selama-lamanya dengan sebab-sebab yang diperakukan oleh syarak.

Contohnya, seseorang individu itu boleh memboikot sahabatnya jika dilihat melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan tuntutan agama, ataupun terus memutuskan hubungan persahabatan tersebut sekiranya dia bersikap degil untuk berubah, bahkan makin melakukan kemaksiatan secara terang-terangan tanpa segan silu hadapan masyarakat. Islam menganjurkan dia didekati dan dinasihati secara baik sebagai langkah pertama, seterusnya islam mengahruskan perbuatan memutuskan rasa cinta itu jika dia terlalu melampau dalam agama Allah dan makin berleluasa dalam kemaksiatan.

Tahap cinta ketiga ialah yang bertaraf rendah dan negative, serta memusnahkan manusia atau disebut sebagai al-Hubb al-Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seseorang yang zalim, dictator atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan. Begitu juga kasih sayang berahi yang menyebabkan seseorang itu bergelumang dengan maksiat dan dunia kedurjanaan. Mencintai sesame insane atau lain-lain melebihi Allah SWT juga termasuk dalam kategori cinta ini. Ia adalah kerana berpaksikan kepada gelodak nafsu ynag melulu, patuh kepada kehendak nafsu amarah meskipun bercanggah dengan syarak, membangga diri ataupun bersikap egoistic.

Malangnya, ramai di kalanagan kita yang lebih cenderung memahami bentuk cinta tahap ketiga, yang bersifat fizikal ataupun hissi seperti cintakan wanita, harta, pangkat dan nama serta kepentingan-kepentingan tertentu. Cinta “asyik” mahsyuk, menatang nafsu; inilah yang sering dilagu-lagukan. Jelas sekali, cinta yang luas maksudnya telah disempitkan ruang lingkup penghayatannya. Cinta dalam skop diatas ada hadnya malah amat terhad bukan bersifat selama-lamanya seperti cinta sesama suami isteri. Ini kerana apabila usia makin meningkat cinta masih diperlukan tetapi bukan dalam bentuk cinta berahi atau sekadar dorongan seksual semata-mata, tetapi cinta yang dipertingkatkan dalam bentuk kemanusiaan yang lebih tinggi. Malangnya sekarang manusia terlalu mengagungkan soal cinta berahi seolah-olah itulah satu-satunya maksud cinta, kasih dan sayang. Padahal islam telah memperkukuhkan pengisian cinta sehingga boleh membawa manusia ke suatu martabat kemanusiaan yang lebih tinggi; iaitu kepada alam rohaniah yang lebih luhur.

Dalam masa yang sama, ada segolongan manusia yang terlalu mengutamakan cinta fizikal dan keseronokan diri sehingga tidak memikirkan kesannya kepada orang lain. Oleh itu tidak hairanlah kalau ada yang sanggup merogol kanak-kanak, warga emas dan sebagainya. Mereka menganggap cinta itu adalah tindakan untuk melepaskan nafsu syahwatnya semata-mata. Sesungguhnya Islam melarang tegas perasaan sayang dan cinta yang ditujukan pada tempat yang salah. Agama Islam dibina atas tonggak keimanan, manakala iman dibina atas dasar cinta kepada Allah SWT. Janganlah kita sewenang-wenangnya mengubah nikmat cinta dan sayang yang dizahirkan oleh Allah SWT sebagai satu anugerah menjadi buah fitnah yang mampu mencarik-carik keimanan dan merosakkan jiwa-jiwa rapuh masyarakat islam sendiri.






Cinta & kasih sayang lahir dari hati sesiapa sahaja





"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." (Imam Nawawi)

No comments:

Post a Comment